LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Naik taraf padang Stadium Perak dijangka siap Ogos 2025
Penyokong Perak FC perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat pasukan itu kembali beraksi di Stadium Perak.
Sebelum ini, pengurusan The Bos Gaurus memaklumkan pasukan itu akan beraksi di Stadium Manjung bermula pada Oktober 2024.
Ini disebabkan kerja-kerja penaiktarafan bakal dijalankan di Stadium Perak, termasuk penukaran rumput daripada jenis Cowgrass kepada Zeon Zoysia.
Bagaimanapun, kelewatan kerja penaiktarafan padang stadium tersebut mengundang keluh kesah dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan kelewatan itu berlaku disebabkan keperluan menaik taraf sistem saliran Stadium Perak.
Isu ini dikenal pasti MBI selepas mengadakan lawatan kerja ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu dan sesi perkongsian maklumat dengan Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM).
Penaiktarafan sistem saliran dilihat perlu bagi memastikan isu padang Stadium Perak yang digenangi air tidak berulang pada masa akan datang.
Kredit : MakanBola