Ejen bola sepak Asia, Jeong Myeongho, menempelak tindakan Kelantan FC merehatkan pengendali pasukan itu, Choi Moon-sik, tanpa sebarang budi bicara.

Jeong dalam satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, leo_jeong10, mendakwa tindakan itu seperti sudah dirancang dan pemilihan pemain untuk perlawanan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Moon-sik.

"Dalam perlawanan hari ini juga, ketua jurulatih tidak dapat memilih pemain. Majikan dan pengarah teknikal telah pun memilih 11 pemain terbaik tanpa berunding dengan ketua jurulatih.

"Ketua jurulatih sangat kecewa dan tidak turun ke padang perlawanan serta pasukan telah merehatkan beliau tanpa sebarang permohonan maaf," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak media dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai perkara itu.

Ujarnya, Kelantan FC hanya cantik daripada luaran tetapi tidak profesional.

Jeong memberitahu dia sememangnya sayang dan hormati bola sepak Malaysia serta penyokong.

"Jurulatih saya sudah bekerja keras dan memberikan yang terbaik dalam segalanya. Pasukan itu (Kelantan FC) kelihatan cantik di sudut luarannya tetapi di dalamnya, ia adalah pasukan yang lebih teruk daripada sebuah pasukan amatur," dakwanya.

Jeong turut mendakwa pemain-pemain Kelantan FC sudah dua bulan tidak menerima gaji.

Katanya, semasa perlawanan di tempat lawan, mereka terpaksa melalui perjalanan lebih 10 jam menaiki bas tanpa makan.

"Semuanya seperti sebuah pasukan amatur tetapi barisan jurulatih telah melakukan yang terbaik," katanya.

Kredit: Sinar Harian