Liga Super: Misi getir Sabah saingi JDT -- Ong Kim Swee

Sinar Harian
Oktober 12, 2022 18:11 MYT
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui tugas sukar bakal dihadapi pasukannya untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan.
Ini kerana skuad itu akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.
“Bagi saya satu lagi cabaran dan perlawanan yang cukup sengit bakal dihadapi apabila berdepan JDT kerana ia penentu sama ada kami layak ke saingan Piala AFC atau tidak.
“Pasukan yang berada di kedudukan kedua, ketiga dan keempat mempunyai peluang untuk merebut tempat ke Piala AFC," katanya.
Kim Swee berkata, penentuannya akan berlaku dalam perlawanan terakhir itu dan sudah pasti skuadnya berdepan cabaran getir apabila menentang JDT serta bermain di tempat lawan.
“Namun, jika dapat sebarang mata di Johor nanti, ia amat berharga buat Sabah,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Dalam perlawanan semalam, Sabah bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan dua gol hasil sentuhan Dominic Tan minit ke-89 dan disusuli Park Tae-soo dalam masa kecederaan.
Skuad tuan rumah itu membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Steven Rodriguez, pada minit ke-85.
Mengulas kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang, Kim Swee berbangga dengan komitmen anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan.
Katanya, semangat juang, terutama keyakinan tinggi, memastikan hasrat mengutip tiga mata di tempat lawan itu tercapai.
“Saya akui pada awal permainan, kami tidak melakukan banyak serangan, terutama dalam separuh masa pertama. Namun, menyedari kami perlu menang, pemain bangkit sebaik Sri Pahang menjaringkan gol pendahuluan.
“Sikap tidak berputus asa sebaik menjaringkan gol penyamaan dan disusuli gol kedua membantu kami mengutip tiga mata. Tidak mengaku kalah pada baki dua atau tiga minit memberikan kemenangan yang berharga,” katanya lagi.
"Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Ong Kim Swee #Sabah FC
;