Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan bahawa pasukan Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan pelesenan kelab bagi saingan Liga Super 2023.

Bagaimanapun, 10 pasukan lain yang sedang bertanding dalam Liga Super 2022 tidak berdepan masalah untuk mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus layak untuk beraksi dalam liga utama itu musim depan.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB), yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif hari ini.

10 kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan berkenaan adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Petaling Jaya City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.

Bagaimanapun Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

"Berkenaan permohonan Melaka United FC, kelab itu gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11," kata Sheikh Mohd Nasir dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

"Sarawak United FC pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA, di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain (Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan).

"Bagaimanapun, Melaka United FC dan Sarawak United FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir pada 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan.

"Sebagai langkah proaktif setiap tahun, MFL mengarahkan setiap pasukan menyerahkan surat pengisytiharan yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan/kelewatan pembayaran gaji, KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS kepada MFL sebelum 15 Disember 2022, iaitu menjelang musim baharu Liga Super 2023.

"Akhir sekali, saya mewakili pihak MFL yang bertanggungjawab dalam pemberian lesen mengucapkan tahniah kepada kelab-kelab yang telah berjaya memperoleh lesen kebangsaan dan menghargai segala usaha yang dilakukan bagi memastikan permohonan mereka berjaya," katanya.