Liga Super: Manzoor Azwira rasa bersalah dua pemain Penang kemalangan sebelum lawan Kuching City

Muzaffar Musa
April 28, 2023 19:15 MYT
Pemangku ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid, mengakui rasa bersalah terhadap insiden membabitkan dua pemainnya, Azmeer Aris Nor Rashid dan Amer Azahar, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuching City semalam.
Azmeer Aris dan Amer dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Balik Pulau menjelang perlawanan di Stadium Bandaraya itu.
Kedua-dua pemain itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius tetapi diberikan pelepasan untuk tidak beraksi dan ia sudah pasti menjejaskan perancangan awal Manzoor Azwira biarpun pasukannya menang dengan keputusan 2-1.
"Sebenarnya saya rasa bersalah kerana situasi itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia pada hari perlawanan," katanya seperti yang dipetik daripada Astro Arena.
"Salah seorang daripada mereka sepatutnya turun sebagai kesebalasan utama, jadi sedikit-sebanyak ia mengganggu perancangan saya.
"Saya cuma berdoa dan berharap agar dua pemain itu tidak mengalami kecederaan yang serius," katanya.
Dalam aksi berkenaan, Penang ketinggalan satu gol selepas dibolosi oleh jaringan Abu Kamara sebelum bangkit meraih kemenangan hasil penyudah Khairul Akmal Rokisham dan Hassan Ali Saad.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Manzoor Azwira Abdul Wahid #Kuching City FC #Penang FC
;