LIGA SUPER MSIA

Liga Super: Lee Tae-min enggan dianggap wira Perak

Shaiful Shamsudin 25/05/2024 | 08:49 MYT
Tonggak import Perak kelahiran Korea Selatan, Lee Tae-min, enggan menganggap dirinya sebagai wira The Bos Gaurus ketika pulang dengan mata penuh ketika bertanding ke Kedah Darul Aman 2-0 malam tadi, sebaliknya kemenangan berharga yang diraih adalah hasil kerjasama sepasukan.
Penyerang berusia 21 tahun itu turut berterima kasih kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah, yang sentiasa memberikan tunjuk ajar serta menaruh kepercayaan penuh kepadanya dalam setiap perlawanan yang diharungi.
"Saya hanya menyudahkan hantaran baik dan menafaatkan peluang yang terhidang.
"Ia hasil daripada kerjasama sepasukan. Saya mahu sumbangkan tiga mata buat pasukan.
"Yusri ibarat seorang bapa dan membuatkan saya selesa di sini jadi saya amat gembira," katanya di Nadi Arena.
Dalam perkembangan sama, pemain tengah, Firdaus Saiyadi, berharap agar pasukannya mampu mengekalkan ketekalan prestasi.
Meskipun menang, dia mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan getir menentang Selangor pada 23 Jun depan untuk perlawanan keempat Liga Super.
"Kami akan cuba sebaik mungkin untuk mengutip mata.
"Moral pemain agak naik dan kemenangan pasti akan merubah.
"Saya harap pasukan Perak akan kekalkan momentum," katanya pula.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;