Liga Super: KL City benam Kedah Darul Aman, Paulo Josue pecah rekod Fandi Ahmad

Saufi Tahir
September 14, 2024 23:16 MYT
Aksi minggu ke-10 Liga Super 2024/2025 menyaksikan Kuala Lumpur City kenduri gol menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 5-0 di Stadium Cheras, sebentar tadi.
Pasukan tuan rumah hanya memerlukan 14 minit untuk memecahkan kebuntuan selepas rembatan Jovan Motika tepat menerjah ke jaring pelawat pada minit ke-14 untuk mendahului 1-0.
Selang sembilan minit kemudian, KL City sekali lagi menambah derita pelawat yang dibarisi pemain B-23 tahun apabila Paulo Josue meledak gol kedua buat kelab Wargo Kota itu pada minit ke-23.
Tiga minit berselang giliran pemain tengah, Zhafri Yahya, untuk pula merobek gawang Sang Kenari menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan penjaga gawang KDA sebelum menutup babak pertama.
Penguasaan berterusan yang dipamerkan oleh anak buah Miroslav Kuljanac diteruskan sebaik bersambung babak kedua dengan Josue sekali lagi mencetak nama selaku penjaring selepas rembatan leretnya pada minit ke-49 menewaskan Muhammad Hafizy Mohd Hajazy untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk mengubah kedudukan tersebut menjadi 5-0 juga menerusi Josue yang melengkapkan hatriknya pada minitr ke-58.
Tiada tambahan gol berjaya dijelmakan oleh kedua-dua pasukan selepas itu hingga menyaksikan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Untuk rekod, Paulo Josue menandingi rekod 68 jaringan Fandi Ahmad untuk muncul sebagai penjaring terbanyak KL City sepanjang zaman.
#bola sepak #KL City #Kedah Darul Aman #Liga Super 2024/2025
;