​Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, menegaskan kemenangan pasukannya ke atas Kedah Darul Aman dalam pertemuan 'derby' utara malam tadi bukanlah kerana nasib semata-mata, sebaliknya atas kerja keras barisan pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

Perak mencetak kemenangan hasil jaringan berganda Lee Tae-main di Stadium Darulaman untuk memberikan The Bos Gaurus kemenangan pertama Liga Super musim ini.

"Tiga mata amat penting. Baik macam mana pun (permainan) kami, tanpa mata orang akan meragui kemampuan kami.

"Kemenangan kami bukan bersandarkan nasib.

"Walaupun orang mengatakan kami bertahan. Saya bukan angkuh tapi ini realiti.

"Saya ambil apa yang Pep Guardiola pernahkan katakan, dalam bola sepak tiada nasib," katanya di Nadi Arena.