LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Kelantan United tundukkan Kuching City
KELANTAN UNITED 2 KUCHING CITY 1
Kelantan United FC (KUFC) menundukkan pasukan tercorot Liga Super, Kuching City FC, 2-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Beraksi di atas padang becak, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol pendahuluan.
Iklan
Kuching City terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah pada minit kelapan melalui rembatan Amir Amri Salleh tetapi penjaga gawang KUFC, Mohd Shahril Sa’ari, cemerlang menangkap kemas bola rembatan itu.
Tersentak dengan serangan itu, Sang Kijang Hijau terus mengatur gerak ke kubu tuan rumah dan berhasil melakukan serangan balas pada minit ke-12 menerusi tendangan kencang Jose Elmer Porteria, namun sedikit tersasar.
Tuan Rumah terus mengasak menerusi sepakan jarak jauh Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke 15 tetapi berjaya ditampan penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi Mohammad.
Di sebalik serangan bertali arus tuan rumah, Kuching City membuat satu serangan balas dan menjaringkan gol pendahuluan menerusi tandukan ayam tambatan, Abu Kamara, pada minit ke-42.
Seawal dua minit babak kedua bermula, Sang Kijang Hijau tidak menunggu lama untuk menggempur kubu The Cats dalam usaha menyamakan kedudukan.
Usaha gigih skuad kendalian Ailton Silva itu akhirnya membuahkan hasil apabila kembali mengikat perlawanan melalui tandukan Ismaheel Akinade pada minit ke-47 selepas menerima hantaran dari kapten KUFC, Mohd Syazwan Zainon.
Minit ke-56, Porteria mengukuhkan kedudukan tuan rumah untuk gol kedua menerusi rembatan terus ke gawang lawan, sekali gus meletakkan KUFC di depan.
Jaringan itu memberikan tiga mata berharga buat Sang Kijang Hijau untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video