Liga Super: Kelantan berhasil bolos gawang JDT biarpun kalah besar

Muzaffar Musa
September 22, 2024 22:55 MYT
JOHOR DARUL TA'ZIM 6 KELANTAN DARUL NAIM 1
Kelantan Darul Naim sekurang-kurangnya berhasil membolosi gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) biarpun tewas besar 1-6 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebentar tadi.
Turun selaku pasukan di tangga tercorot, tidak banyak mampu dilakukan Kelantan selain bertahan dan mereka dibolosi dua gol pantas daripada Bergson da Silva, pada penghujung separuh masa pertama, masing-masing pada minit ke-42 dan 45.
Selepas waktu rehat, Arif Aiman Hanapi menambah dua lagi gol JDT pada minit ke-55 dan 58 untuk tuan rumah selesa mendahului empat gol.
Bagaimanapun, kejutan berlaku apabila pemain import Kelantan, Layth Kharoub, berhasil membolosi gawang JDT pada minit ke-65 sebelum Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-71.
Malang berterusan menimpa Kelantan pada minit ke-75 apabila Umeir Aznan terjaring bola ke gawang sendiri untuk melengkapkan pesta jaringan Harimau Selatan.
Dengan kemenangan itu, JDT kian gah di puncak liga dengan 28 mata selepas 10 perlawanan manakala Kelantan kekal terperosok di tangga terbawah dengan hanya tiga mata.
#bola sepak #JDT #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Kelantan Darul naim FC
;