Liga Super: JDT tutup musim bersejarah dengan rekod 100 gol

Muzaffar Musa
Disember 16, 2023 19:43 MYT
JOHOR DARUL TA'ZIM 8 PENANG FC 0
Johor Darul Ta'zim (JDT) menutup musim paling bersejarah sepanjang penyertaan mereka dalam Liga Malaysia apabila mendaftarkan 100 gol dalam satu musim Liga Super dengan membelasah Penang FC 8-0 sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan menjadi pasukan pertama menamatkan satu musim Liga Super dengan jaringan tiga digit.
Menjelang keraian kejuaraan liga mereka malam ini, Harimau Selatan membuka jaringan seawal minit kelima menerusi bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi, sebelum Bergson da Silva menjaringkan gol berganda, masing-masing pada minit ke-18 dan 33.
Seorang lagi penyerang negara, Akhyar Rashid, turut menemui sasaran pada minit ke-41 dan Heberty memastikan kelebihan lima gol Harimau Selatan sebelum waktu rehat menerusi penyudahnya pada minit ke-43.
Arif Aiman melengkapkan hatriknya hasil dua lagi jaringan dalam babak kedua, masing-masing pada minit ke-47 dan 52.
Bintang besar Harimau Malaya itu kemudian menjadi penjaring gol bersejarah JDT dengan menyudahkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan.
Kemenangan itu sudah pasti akan merancakkan lagi keraian penutup musim juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini memandangkan setiap sudut venue itu sudahpun dipenuhi penyokong Harimau Selatan.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Penang FC