Terengganu FC terpaksa akur dengan kekalahan selepas tewas 3-1 kepada Johor Darul Ta'zim dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Kemenangan yang diperoleh di tempat lawan menyaksikan gergasi Liga Malaysia, JDT terus kekal di persada Liga Super dengan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 42 mata sementara TFC di tangga ketujuh dengan 20 mata.
Dalam aksi yang sengit itu, anak buah bimbingan Esteban Solari terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting penyerang berbisa, Fernando Forestieri, pada minit ke-20.
Terengganu memperoleh peluang menyamakan kedudukan seminit berselang menerusi penyerang muda, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, namun percubaan sekadar melewati palang gol.
Usaha berterusan tuan rumah mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila sepakan percuma Sony Norde pada minit ke-28 menerjah jaring tanpa sempat ditepis penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed untuk mengikat kedudukan 1-1.
Jaringan yang pemain dari Haiti itu merupakan gol kedua buat pasukan Harimau Selatan itu selepas kali pertama ketika menumpaskan Kelantan FC 5-1 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Dalam usaha Terengganu menyaksikan mereka berjaya mengikat JDT 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama tidak berhasil apabila pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Sonny Norde.
Bergson Da Silva bertindak cemerlang berjaya menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin, untuk membenarkan pasukannya mendahului 2-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.
Terengganu dihimpit masalah kekurangan pemain apabila Argzim Redzovic diperintahkan keluar padang selepas mengumpul dua kad kuning sebelum giliran Ivan Mamut pula dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Kelebihan pemain di atas padang digunakan sebaik mungkin pelawat dan berjaya mendapat gol ketiga hasil jaringan Endrick Dos Santos pada masa kecederaan untuk pasukannya merakam kemenangan 3-1.
Ammar Hakim
Fri Jun 09 2023