Liga Super: Ivan Mamut enggan rasa terancam dengan kehadiran Ismaheel Akinade di Terengganu

Muzaffar Musa
April 12, 2024 19:54 MYT
Penggempur Terengganu, Ivan Mamut, enggan berasa terancam dengan kehadiran bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade, dalam skuad Peteh itu menjelang saingan Liga Super musim 2024/25 bermula bulan depan.
Sebaliknya, penyerang kelahiran Croatia itu menjadikan kelibat Akinade sebagai perkara positif untuk tampil lebih tajam berbanding musim pertamanya tahun lalu.
Mamut berdepan persaingan lebih hebat untuk berada dalam kesebelasan utama dengan kehadiran Akinade memandangkan penyerang itu mempunyai gaya permainan yang sama dengannya.
Kedua-duanya merupakan penyerang yang dilabel sebagai 'target man', sekali gus salah seorang daripada mereka akan diketepikan dalam sesuatu perlawanan berdasarkan kebiasaan taktikal seseorang jurulatih.
Begitupun, Mamut percaya terhadap kemampuannya untuk kekal sebagai penyerang utama Sang Penyu walaupun Akinade mampu menawarkan sesuatu yang baik berdasarkan aksinya musim lalu.
"Setiap kelab di dunia memiliki dua penyerang yang merebut posisi," kata Mamut, yang menjaringkan 22 gol sepanjang musim lalu, kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Tetapi kami perlu menunjukkan siapa yang lebih bagus dan lebih layak bermain.
"Ia boleh menjadi sesuatu yang bagus kerana kami boleh mendorong sesama sendiri.
"Saya fikir dia seorang pemain yang bagus dan kami juga memerlukan dua penyerang kerana ada banyak perlawanan dalam semusim, di mana kami akan bermain di peringkat Asia dan Liga Super," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Terengganu FC #Ivan Mamut
;