Liga Super: Ifedayo Olusegun tekad robek gawang Selangor

Shaiful Shamsudin
Oktober 17, 2024 17:03 MYT
Penyerang import PDRM, Ifedayo Olusegun, menjangkakan perlawanan sukar menanti pasukannya menjelang saingan Liga Super Minggu Ke-13 bertemu Selangor, Sabtu ini.
Tonggak berusia 33 tahun itu berharap Sang Saka Biru mampu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri bagi merealisasikan kemenangan kelima musim ini.
Selepas sembilan perlawanan liga, Ifedayo telah mencetak lima gol, sekali gus muncul penjaring terbanyak kelab itu setakat ini.
"Selangor beraksi sangat bagus sebagai sebuah pasukan. Mereka mempunyai ramai pemain yang mampu mencetuskan masalah kepada kami.
"Sehubungan itu, jurulatih telah berpesan bahawa ada beberapa pemain yang perlu diawasi.
"Saya bersikap optimis dan kami gigih dalam persiapan.
"Saya akan menjalankan tugas sebagai seorang penyerang dan berharap tuah mengiringi untuk menjaringkan gol," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin, percaya kewujudan portal rasmi PDRM FC yang dilancarkan secara rasmi semalam mampu menjadi pelantar terbaik untuk menghubungkan kelab berkenaan dengan barisan penyokong.
Jelasnya, pelbagai tawaran menarik menanti penyokong setia The Cops; antaranya harga istimewa cendera mata serta barangan kelab selain aktiviti melibatkan pemain dan penyokong pada masa akan datang.
PDRM dalam perkembangan sama turut mengumumkan penyanyi, Amir Masdi, sebagai duta kelab berkenaan.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;