LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Gol tunggal Yazan Al-Arab pastikan tiga mata pertama Selangor
SELANGOR 1 KELANTAN UNITED 0
Selangor FC membuka kempen Liga Super 2023 dengan nota kemenangan apabila menewaskan Kelantan United 1-0 di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.
Gol tunggal daripada Yazan Al-Arab pada lewat separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat pasukan Gergasi Merah itu.
Selangor jelas pasukan yang lebih baik sepanjang 45 minit pertama dan berhasil merencanakan asakan bertali arus ke kubu lawan tetapi Kelantan United mempamerkan aksi bertahan berdisiplin tinggi dalam mempertahankan gawang mereka.
Bagaimanapun, keampuhan itu akhirnya runtuh juga pada minit ke-40 apabila Yazan bijak menghidu bola daripada sepakan penjuru Faisal Halim sebelum melepaskan tandukan ke sebelah kanan gawang yang menewaskan Asyraaf Omar.
Selangor meneruskan penguasaan hampir sempurna mereka dalam babak berikutnya tetapi ketumpulan jentera serangan menyekat hajat mereka untuk menambah jaringan, antaranya menerusi tandukan jarak dekat penyerang import dari Colombia, Ayron del Valle, yang sempat ditepis keluar Asyraaf.
Selangor seterusnya akan bertandang ke laman Kuching City FC pada Khamis ini manakala Kelantan United pula akan ke Kota Kinabalu bagi membuat perhitungan dengan Sabah FC sehari sebelumnya.