KUALA LUMPUR CITY 4 PENANG 2
Gol berganda daripada pemain gantian, Haqimi Azim Rosli, memastikan Kuala Lumpur City bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Penang dalam aksi Liga Super di Cheras sebentar tadi.
The City Boys, bagaimanapun, dibolosi seawal minit kedua apabila Adib Raop melepaskan penyudah kaki kiri dari sudut sukar untuk menewaskan Azri Abdul Ghani.
Bagaimanapun, keraian itu hanya bertahan selama enam minit untuk kapten KL City, Paulo Josue, menyamakan kedudukan dengan penyudah tenangnya, yang disahkan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Jovan Motika kemudian memastikan KL City berada di depan pada minit ke-22 untuk skuad Warga Kota itu memimpin permainan sehingga ke bilik persalinan.
Kemasukan Haqimi dalam babak kedua jelas memberikan dimensi baru buat gaya permainan KL City dan penyerang berusia 21 tahun itu merembat masuk lintangan gemilang Josue pada minit ke-54, yang turut disahkan selepas semakan VAR terhadap kedudukan kapten KL City berkenaan.
Haqimi kemudian menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-74, kali ini dengan memanfaatkan larian pantasnya dari tengah padang.
Penang cuba bangkit merapatkan jurang menerusi ledakan Rodrigo Dias pada minit ke-84 tetapi tiada sebarang pertambahan jaringan terhasil untuk membenarkan kemenangan tuan rumah.
Dengan kemenangan itu, KL City naik ke tangga kelapan Liga Super dengan 11 mata manakala Penang tergelincir ke tangga ke-10, juga dengan 11 mata.
Muzaffar Musa
Sun Sep 29 2024