Selangor melakar kemenangan tipis di laman sendiri selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 dalam aksi Derbi Lembah Klang, saingan Liga Super 2024/25 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Percaturan kedua-dua pasukan serba tidak menjadi dalam separuh masa kedua, dengan beberapa siri serangan yang diatur anak buah Katsuhito Kinoshi ke gawang pasukan lawan tidak membuahkan hasil susulan Selangor bergelut daripada aspek ketajaman penyudah mereka.

Namun, pasukan tuan rumah terpaksa berkerja keras untuk memecah kebuntuan menerusi Alvin Fortes yang menampan bola muntah yang selepas pertahanan KL City gagal mengeluarkan bola dengan kemas daripada dalam kotak penalti untuk menewaskan Azri Ghani sekali gus meletakkan Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-63.

Pasukan pelawat berpeluang menghasilkan jaringan penyamaan sebanyak dua kali menerusi gerakan Haqimi Azim dan Jovan Motika, namun percubaan penyerang KL City tidak berjaya dinoktahkan dengan gol.

Skuad Gergasi Merah berjaya mempertahankan jaringan tunggal Alvin Fortes untuk meraih tiga mata di laman sendiri, malah memperkukuhkan kedudukan mereka daripada pencabar terdekat, Sabah, di tangga kedua dalam carta liga dengan 38 mata.