Liga Super: FIB tarik balik sekatan perpindahan pemain Kelantan FC

Sinar Harian
Julai 28, 2023 11:42 MYT
Kelantan FC boleh menarik nafas lega apabila First Instance Body (FIB) menarik balik sekatan perpindahan pemain dalam jendela kedua terhadap pasukan tercorot Liga Super itu berkuat kuasa semalam.
Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL), FIB sudah menerima segala dokumen yang diperlukan untuk menarik perintah sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas The Red Warriors (TRW) sebelum ini.
"Namun begitu, penarikan balik sekatan perpindahan pemain ini adalah berbeza dan tidak mempunyai impak ke atas sebarang sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas ini," menurut badan pentadbir liga negara itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu, awal bulan ini, TRW dijatuhkan hukuman sekatan perpindahan pemain dalam jendela kedua bermula 5 Julai lalu.
Hukuman itu berikutan kegagalan mereka menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, ia melibatkan tunggakan gaji pemain serta pegawai bagi tempoh April dan Mei sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lalu.
Sebagai rekod, TRW, yang meraih lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dalam 17 perlawanan, akan berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang esok.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Kelantan FC
;