Liga Super: Faisal Halim 'tidak rasa selesa' di Selangor FC
Muzaffar Musa
Februari 20, 2023 19:56 MYT
Februari 20, 2023 19:56 MYT
Pemain sayap, Fasal Halim, mendedahkan bahawa dia "tidak berasa selesa" berada di dalam pasukan Selangor FC menjelang sepak mula Liga Super pada Jumaat ini.
Menjelang aksi liga pertama menentang Kelantan United FC di Petaling Jaya hujung minggu ini, Faisal berasakan dia kini memiliki mentaliti berbeza selain meletakkan sasaran peribadi buat Gergasi Merah musim ini.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain yang menyarung jersi nombor 7 itu berkata: "Di sini saya tidak rasa begitu selesa kerana semua pemain di sini mempunyai kualiti dan ada kelebihan masing-masing.
"Setakat ini, saya sudah menukar mentaliti saya dan menganggap bukan setiap perlawanan saya dapat beraksi.
"Saya cuma menetapkan bahawa di sini saya memikul satu tanggungjawab yang berat dan di mana sahaja saya diperlukan, saya akan memberikan yang terbaik.
"Mungkin perubahan percaturan akan berlaku dan saya sedia menerima apa sahaja yang dilakukan jurulatih, sama ada mahu meletakkan saya dalam separuh masa pertama atau kedua.
"Kerana saya faham pemain di sini amat berkualiti dan mereka juga mahu menggalas tanggungjawab yang sama," katanya.
Bekas pemain Terengganu FC itu menambah: "Di Selangor, saya tidak boleh menganggap bahawa diri saya merupakan kesebelasan utama kerana ia akan membuatkan prestasi menurun.
"Pemain lain juga boleh menggalas tanggungjawab itu sekiranya saya tidak dapat bermain atau mengalami kecederaan kerana yang akan menggantikan saya juga boleh melakukan perkara sama," katanya.