Liga Super: Empat ditahan susulan insiden pergaduhan penyokong Perak-Selangor

Muzaffar Musa
Mei 21, 2023 20:15 MYT
Pertemuan 'El Classico Malaya' di antara Perak FC dan Selangor FC di Ipoh semalam dicemari dengan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan ketika perlawanan itu masih berlangsung.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah penyokong pelawat dan insden 'Royal Rumble' tumbuk-menumbuk itu akhirnya dileraikan selepas ketibaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Difahamkan seramai empat lelaki warga tempatan berumur sekitar 18 hingga 26 tahun ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 174 kanun keseksaan kerana merusuh.
Perlawanan itu juga menyaksikan satu lagi insiden yang jarang berlaku apabila pengadil, Noor Azriel Baharudin, terpaksa menghentikan perlawanan pada minit ke-72 untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanannya.
Perlawanan tertangguh kira-kira tiga minit sebelum dia dipapah keluar padang oleh pegawai perubatan dan pemain Selangor FC, Brendan Gan.
Keadaan itu memaksa pengadil keempat, Mohd Azizan Saat Ariffin, masuk menggantikan Noor Azriel untuk meneruskan perlawanan yang berbaki kira-kira 15 minit.
Selangor, dalam pada itu, kembali ke tangga kedua Liga Super hasil gol berganda Ayron del Valle dalam babak berbeza serta masing-masing satu gol daripada Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal Mahadi dalam kemenangan 4-0 berkenaan.

Panass!?@ASTROARENA pic.twitter.com/7g3gXPLRi6

— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 20, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Selangor FC #Perak FC