LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Eddy Gapil akui PDRM perlu 'tonik tambahan' berdepan KL City



Pemangku ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, percaya pasukannya sudah melupakan kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan MFL Challenge Cup 2024/25 selepas tewas dalam aksi final kepada Selangor dengan agregat 7-0, Sabtu lalu.
Dia menegaskan fokus Sang Saka Biru kini kembali terarah sepenuhnya kepada kempen Liga Super 2024/25 dan akan berjuang habis-habisan bagi mengutip mata sebanyak mungkin dalam baki enam perlawanan musim ini.
Dia dalam perkembangan sama turut memaklumkan hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat penjaring terbanyak pasukan, Ifedayo Olusegun, bagi saingan liga minggu ke-22 bertemu Kuala Lumpur City di Cheras pada Rabu susulan kecederaan lutut yang dialami tonggak berusia 34 tahun itu.
Selepas mengharungi 18 perlawanan, The Cops kini menghuni kedudukan kelapan liga dengan 21 mata hasil daripada lima kemenangan, enam seri dan tujuh kali tewas.
"Persiapan pasukan dalam keadaan positif. Kami masih memantau tahap kecederaan Ifedayo bersedia mahupun tidak, bergantung pada ujian kecergasan petang ini.
"PDRM perlu tonik, jika tidak tiga mata, satu mata juga bonus. Ia masa yang sesuai untuk pemain bangkit," katanya.
Sementara itu, pengurus PDRM, Mohd Shamshul Hisham Abdul Razak, mengesahkan direhatkan daripada tugasan selaku ketua jurulatih dan menzahirkan ucapan penghargaan sepanjang bersama pasukan.
"Buat masa sekarang, jurulatih akan bawa pasukan hingga hujung musim 2024/25. Kami agak terkesan dengan MFL Challenge Cup sebelum ini. Jasa P.Maniam banyak untuk PDRM, apa yang dia lakukan amat membantu hingga layak final.