Liga Super: Dua gol Alvin Fortes pastikan Selangor tumbangkan Perak di Manjung

Muzaffar Musa
Disember 17, 2024 23:01 MYT
PERAK 1 SELANGOR 2
Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super apabila menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan di Stadium Manjung sebentar tadi.
Pemain sayap kanan, Alvin Fortes, muncul pemain paling cemerlang menjaringkan gol dalam setiap separuh masa sambil Wan Zack Haikal Wan Noor merapatkan jurang buat tuan rumah menuju ke penghujung saingan.
Selepas deretan peluang dipersiakan, Fortes memecahkan kebuntuan buat pelawat pada minit ke-41 apabila menolak masuk lintangan Quentin Cheng dari jarak dekat.
Pemain kelahiran Rotterdam, Belanda itu kemudian menggandakan kelebihan itu pada minit ke-71, kali ini hasil gerakan satu-dua dengan Alex Agyarkwa.
Wan Zack Haikal menunjukkan kemahiran mengawal bola menarik ketika merapatkan jurang buat tuan rumah pada minit ke-89 tetapi Perak kemudian tidak berhasil mendapatkan gol penyamaan, bahkan mereka bernasib baik apabila jaringan Quentin dalam waktu kecederaan dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) gara-gara kekasaran awal yang dilakukan Ahmad Zikri Khalili.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua dengan 35 mata daripada 16 perlawanan manakala Perak pula di tangga keenam dengan 18 mata.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Selangor FC #Perak FC #Alvin Fortes
;