Liga Super: Damien Lim tetap positif walau bergelut masalah kecederaan
Saufi Tahir
Mei 17, 2024 20:12 MYT
Mei 17, 2024 20:12 MYT
Penjaga gol Sabah, Damien Lim, mengakui kecewa dengan kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) yang dialaminya ketika saingan Sabah Maju Jaya Cup menentang Hougang United, 29 April lalu.
Damien mengesahkan dia terpaksa berehat untuk tempoh 6 minggu bagi proses pemulihan namun berasa lega kerana tidak perlu menjalani sebarang pembedahan.
Penjaga gol kelahiran Kuala Lumpur berusia 27 tahun itu turut menegaskan dia sedia bersaing merebut posisi utama penjaga gol Sang Badak sebaik sahaja kembali memperkuatkan pasukannya nanti.
Ketiadaan dia menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mempertaruhkan tonggak berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat serta Mohammad Ramzi Mustakim di posisi penjaga gawang.
"Saya kecewa dengan diri sendiri kerana telah berkerja keras daripada tahun lalu kemudian saingan AFC serta banyak pramusim.
"Perkara mahu berlaku dan kita tidak boleh jangka. Mungkin minggu keenam saya sudah boleh turun padang.
"Untuk musim ini, peratusan bermain dalam kesebelasan utama agak tinggi kerana bersaing dengan Khairul Fahmi jadi saya perlu positif dan terus memandang kehadapan." katanya kepada Nadi Arena.