Liga Super: Cheng Hoe puji komitmen pemain Selangor atasi tekanan benam Penang
Muzaffar Musa
Julai 16, 2023 19:19 MYT
Julai 16, 2023 19:19 MYT
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, memuji kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit ketika menewaskan Penang FC 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya semalam.
Menurutnya, pasukan Gergasi Merah itu berada dalam keadaan tertekan memandangkan mereka perlu bangkit selepas tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC di gelanggang lawan minggu lalu.
Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun itu mengakui masih terdapat kelemahan besar yang perlu diperbaiki pasukannya, terutama dalam aspek bertahan.
"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati tetapi ada satu-dua serangan balas lawan yang kami rasa pemain perlu lebih yakin untuk beraksi di bawah tekanan," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.
"Kerana itulah jika ada pemain dapat menjadikan aksi di bawah tekanan sebagai motivasi, saya pasti mereka boleh berada di tahap permainan terbaik."
Dalam masa sama, Cheng Hoe turut memuji aksi dua pemain import baru The Red Giants, Richmond Boakte dan Safuwan Baharudin, yang dapat mencetuskan impak segera buat pasukan itu.
"Kedua-dua mereka telah menunjukkan keyakinan dalam pasukan ini. Safuwan, walaupun dalam prlawanan pertamanya bersama kami musim ini, dia dapat menunjukkan ketenangan dan kematangan yang kami perlukan di bahagian pertahan," katanya.