Liga Super: Calon pemain naturalisasi negara bukti ketajaman pacu JDT benam Sri Pahang

Muzaffar Musa
Disember 17, 2024 23:18 MYT
SRI PAHANG 1 JOHOR DARUL TA'ZIM 3
Bergson da Silva membuktikan ketajamannya di depan gawang ketika membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam Sri Pahang 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang separuh masa pertama tetapi aksi kian hangat dalam 45 minit berikutnya.
JDT memecahkan kebuntuan pada minit ke-48 hasil kesilapan pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin, yang tertahan bola ke gawang sendiri susulan sepakan penjuru Juan Muniz.
Bergson -- seorang pencinta nasi lemak yang disebut-sebut bakal memperkuatkan Harimau Malaya di pentas antarabangsa -- menjaringkan dua gol buat JDT, masing-masing pada minit ke-52 dan 97, yang mengapit jaringan David Rowley buat Tok Gajah pada minit ke-53.
Dengan kemenangan itu, Harimau Selatan terus gah di puncak liga dengan 46 mata daripada 16 perlawanan manakala Sri Pahang pula di tangga kesembilan dengan 15 mata.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Bergson da Silva #Sri Pahang FC
;