Malah, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah. berharap bekas Pengarah Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) itu meletakkan profesional di tahap lebih tinggi.
“Sejujurnya apabila kami yang bergelar ketua jurulatih kena ingat semua mata terutama komuniti bola sepak akan memerhatikan setiap pergerakan kami.
“Insiden membaling bola terhadap Arif Aiman tidak harus berlaku kerana jelas ia tidak profesional dan keputusan pengadil melayangkan kad kuning adalah tepat.
“Arif Aiman pula bekas pelatih AMD dan seharusnya bekas tok guru perlulah menujukkan contoh baik- tenang is good,” katanya.
Dalam aksi Liga Super itu, anak buah Teong Kim dijinakkan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-5 di Stadium Perak, Ipoh, kelmarin.
Kekalahan kepada juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu menyaksikan Perak kini berada di tangga ke-10 dengan lima mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
?#DemiLigaKita pic.twitter.com/v78Ygj8i7T
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 4, 2023
Namun, paling mencuri tumpuan insiden sekitar minit ke-74 apabila bola terkeluar daripada permainan ketika Arif Aiman meminta bola daripada Teong Kim.
Tindakan balingan pantas bekas pemain berusia 59 tahun itu hampir mengenai kepalanya tetapi berjaya disambut pemain sayap Harimau Malaya tersebut.
Tindakan Teong Kim itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemain JDT termasuk Arif Aiman dan penyerang, Bergson da Silva.
Pertengkaran di tepi padang berlanjutan sehingga pengadil melayangkan kad kuning kepada Teong Kim.
Rentetan di stadium tidak berakhir di situ apabila Teong Kim dilihat bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan petugas media stesen televisyen selepas perlawanan.
Azraai yang juga bekas pemain kebangsaan juga menasihati bekas pemain tengah Harimau Malaya itu agar lebih memahami etika ketika berdepan petugas media.
“Saya tidak nafikan terdapat juga soalan dalam kalangan petugas media yang bersifat provokasi.
“Namun, sebagai bekas pemain dan jurulatih berpengalaman yang membawa imej kelab, dia sepatutnya lebih matang apabila berdepan situasi sebegini.
“Harus dingat apa sahaja yang keluar dari mulut seseorang itu menggambar keperibadian seseorang dalam kehidupannya,” ujarnya.
Sebagai rekod, Teong Kim pernah beraksi bersama beberapa kelab tempatan seperti Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah selain Hertha Berlin (Jerman) dan Ibiza (Sepanyol).
Bidang kejurulatihan pula menyaksikan Teong Kim memiliki pengalaman 12 tahun bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich.
Selain itu, dia yang memiliki 60 penampilan bersama skuad kebangsaan sepanjang 1982 hingga 1991 telah meledak 12 gol serta pernah berkhidmat bersama kelab Itali, Bologna.
Pengalaman di tanah air juga tidak kurang hebat apabila pernah memegang jawatan Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) pada 2013 sebelum dilantik Pengarah AMD pada 2016.
Musim 2023, Teong Kim menyahut cabaran bersama skuad Seladang apabila menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak selama setahun.
Kredit: Sinar Harian