Pertahanan Terengganu FC, Argzim Redzovic, tetap bersabar menunggu impiannya untuk bergelar pemain naturalisasi negara terlaksana.
Ini selepas hasratnya untuk didaftarkan dalam jendela perpindahan pertama musim ini sebagai pemain tempatan tidak kesampaian -- dilaporkan atas masalah dokumentasi.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain kelahiran Montenegro berusia 31 tahun itu berkata dia tetap positif untuk menghadapi proses berkenaan asalkan impiannya untuk mewakili Harimau Malaya tercapai.
"Sejujurnya, saya tidak tahu apa untuk dikatakan. Saya dapat maklumat bahawa saya dan Romel (Morales) akan dinaturalisasikan dalam jendela perpindahan kedua," katanya dengan Bahasa Melayu yang agak fasih.
"Jadi, ia dalam proses tetapi Terengganu telah melakukan yang terbaik untuk melakukannya kerana ia akan menjadi sesuatu yang bagus untuk pasukan kami kerana kami juga ada Liridon, macam ada tujuh pemain import (bermain serentak).
"Saya masih menunggu, Insya-Allah saya akan dapat dinaturalisasikan dalam jendela kedua tetapi saya tidak dapat menjanjikannya.
"Untuk pemain pertahanan, lebih tua lebih berpengalamanlah, tahu bagaimana untuk menjaga tubuh sendiri dan pemakanan, saya sudah ada pengalaman di Malaysia sepanjang enam tahun ini, tiada masalah.
"Saya hanya perlu meningkatkan prestasi saya di atas padang dan jika ada rezeki untuk bermain, saya perlu membuktikan kemampuan saya untuk kembali seperti dulu," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia kini memiliki tujuh orang pemain naturalisasi, iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santos dan Paulo Josue.
Muzaffar Musa
Thu Mar 09 2023