Liga Super: Ambil mudah kemampuan lawan punca Penang tewas -- Yee Fatt
Ammar Hakim
Oktober 2, 2023 15:49 MYT
Oktober 2, 2023 15:49 MYT
Kualiti Kelantan United FC (KUFC) tidak boleh dipandang rendah kerana mereka juga mampu melakukan kejutan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV.
Pesanan pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt kepada anak buahnya ternyata menjadi kenyataan apabila KUFC mengatasi perlawanan semalam.
Yee Fatt turut mengakui corak permainan yang baik anak buahnya tidak membolehkan Penang FC memenangi perlawanan mungkin kerana banyak membiarkan pemain lawan menguasai bola.
"Mereka tidak cuba menyerang dengan agresif walaupun ada banyak masa untuk menyempurnakan jaringan," katanya kepada pemberita.
Beliau bagaimanapun memuji aksi pasukannya yang bermain dengan baik walaupun gagal mengutip sebarang mata.
"Penang FC juga tidak memberi tekanan kepada pemain lawan antara sebab kemenangan tidak berpihak kepada kami," katanya.
Pada perlawanan itu, pemain import KUFC Dominik Balic menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke- 67 yang menyaksikan kemenangan ketiga kepada pasukan tuan rumah.
Sementara itu, bagi pengendali KUFC, Ailton Dos Santos Silva, kemenangan itu memberi motivasi kepada pasukannya untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
Beliau berkata, mereka perlu membuat lebih banyak persediaan bagi menghadapi Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan Negeri Sembilan selepas ini.
Kredit: Sinar Harian