Liga Super: Akmal Rizal puji corak, karakter Penang ikat Terengganu

Ammar Hakim
Disember 4, 2023 18:23 MYT
Pengendali sementara Penang FC, Akmal Rizal, berpuas hati dengan corak dan karakter yang ditampilkan anak buahnya dalam aksi menentang Terengganu FC.
Biarpun beraksi di laman sendiri, namun Akmal melihat ia bukanlah sesuatu yang mudah baginya kerana skuad peteh dibarisi rata-rata pemain yang pernah menjuarai Piala MFL.
"Saya berpuas hati, mereka telah mempamerkan peningkatan. Mereka memiliki kualiti dan karakter untuk menjadikan pasukan bertambah baik berbanding sebelum ini," katanya menerusi Nadi Arena.
Menjelang perlawanan terakhir berdepan juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta'zim (JDT), dia mengingatkan pemain supaya mengikut taktikal daripadanya dan tidak dipengaruhi perasaan gemuruh.
Meskipun atas kertas segala-galanya pasti seakan memihak JDT, namun skuad Harimau Kumbang hanya ingin memastikan semua pemain berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama.
"Berdepan JDT dalam aksi terakhir, kami akan cuba memberikan yang terbaik, menurunkan kesebelasan terbaik tanpa mengira keputusan yang bakal diperoleh dalam perlawanan tersebut."
#liga super #DemiLigaKita
;