Ketua jurulatih sementara Penang FC, Akmal Rizal Rakhli, mahu mengelak daripada menempa kekalahan ketika mengemudi perlawanan ketiga membabitkan Harimau Kumbang, petang esok.

Skuad Harimau Kumbang berdepan ranjau di Stadium Sultan Ibrahim bertemu juara musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT), petang esok malah kehilangan pemain utama di bahagian pertahanan.

"Kami perlu bersaing dan kami perlu bertahan.

"Sebenarnya saya mengharapkan untuk membawa feri daripada Pulau Pinang untuk diletakkan di depan pintu gol.

"Tapi saya tak tahu sempat sampai ke tidak. Kami perlu bertahan dengan disiplin yang baik dan cuba melakukan kejutan apabila mendapat peluang.

"Kami hanya akan menggunakan seorang atau dua pemain import sahaja esok.

"Saya masih mempertimbangkan untuk menurunkan pertahanan muda dari Jepun, Ryu Yamaguchi, buat kali pertama musim ini sementara Khairul Akmal Rokisham boleh mengambil tempat pemain import, Rafael Victor.

"Kami sedar dengan kekuatan JDT dan saya percaya pemain saya juga akan berikan komitmen tinggi untuk berikan tentangan.

"Mana-mana perlawanan pun kami tidak ingin kalah. Tapi kami perlu realistik di antara kedua-dua pasukan.





"Pemain perlu berusaha, ikut percaturan barisan jurulatih dan cuba sedaya upaya mengekang asakan JDT," katanya di Nadi Bola, sebentar tadi.

Akmal Rizal juga tidak menolak seandainya diberi mandat untuk terus menerajui cabaran kelab tersebut apabila belum kalah dalam dua perlawanan terdahulu.
"Pemain cuba berikan aksi baik dan mendapat kepercayaan pengurusan untuk terus mewakili Penang pada musim depan.

"Saya sudah tunjukkan kepada pengurusan dan jika mereka berasakan saya layak, saya bersedia dan bertekad menjadikan Penang lebih baik berbanding musim-musim sebelum ini," katanya.