Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, meluahkan rasa lega selepas barisan pemainnya memungut mata penuh apabila menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-2 dalam perlawanan sengit Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dia, bagaimanapunm sedikit kecewa selepas pasukannya melepaskan dua jaringan kepada lawan pada perlawanan tersebut.

"Kami perlu belajar di sini. Walaupun mendahului namun tidak boleh leka. Jika leka, kita meletakkan tekanan kepada pasukan sendiri.

"Namun, mata yang diperolehi lebih penting daripada apa yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan kedua Liga Super itu.

Gol kemenangan Sabah FC dijaringkan oleh Gabriel Peres (minit ke-25), Stuart Wilkin (minit ke-65) dan Roman Macedo (minit ke-68) sementara Kim Lik Wan serta Bae Kyeong Hwa meledakkan gol untuk KDN FC.

Menurutnya, Sabah FC akan memperbaiki segala kelemahan yang ada bagi memastikan pasukan itu tampil lebih baik selepas ini.

Dia sudah menjangkakan akan menerima tentangan sengit memandangkan lawan menunjukkan aksi baik semasa bertemu dengan Sri Pahang.





Kim Swee berkata, melihat kepada persembahan KDN itu beliau tidak menolak kemungkinan pasukan yang berkunjung ke Kota Bharu bakal berdepan laluan sukar.

Mengulas persembahan penjaga gawang Khairul Fahmi Che Mat, dia menyerahkan kepada pengendali kebangsaan itu untuk membuat penilaian sama ada layak untuk kembali ke pangkuan Harimau Melayu.

Katanya, Khairul Fahmi atau Apek telah memberikan aksi terpuji sepanjang beraksi dengan Sabah.

-- Sinar Harian