Ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain, berharap pasukannya mampu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super menjelang pertemuan dengan Selangor di Stadium MBPJ malam ini.

Kedah merekodkan kemenangan 1-0 dalam aksi pertama ketika bertemu PDRM di Stadium MP Selayang, jaringan tunggal Syafiq Ahmad memastikan tiga mata penting buat pasukan yang berpangkalan di utara tanahair itu.

Kembali ke Lembah Klang bagi aksi kedua bertemu Selangor, Nafuzi percaya mereka berdepan tugas getir bertemu naib juara Liga Super musim lalu namun tetap memastikan tiga mata.

"Kami mengharapkan keputusan yang positif. Kalau boleh kami mahu mendapatkan tiga mata. Kami menyedari ia tugasan sukar namun kami tetap akan cuba beraksi cemerlang dalam perlawanan ini," katanya.

Tambahnya lagi, "Setiap perlawanan pertama yang berjaya berakhir dengan kemenangan menyuntik semangat buat pasukan dan pemain.

"Perkhabaran tiket habis dijual ini merupakan satu perkara yang positif, perlawanan yang dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan."