Liga Super 2023 libatkan 18 pasukan, sembilan pemain import boleh didaftar
Muzaffar Musa
Julai 20, 2022 20:10 MYT
Julai 20, 2022 20:10 MYT
Liga Super Malaysia 2023 akan berwajah baru, di mana ia akan melibatkan 18 pasukan bertanding dan kuat pemain import berdaftar ditingkatkan kepada sembilan pemain, demikian diumumkan badan pengelola, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.
Ketetapan baru itu juga menyaksikan tiada lagi saingan Liga Perdana dan ia akan digantikan dengan Liga Simpanan -- satu kejohanan liga kelompok usia bawah 23 tahun.
Kuota import baru pula menyaksikan sembilan pemain dari luar negara boleh didaftarkan tetapi hanya lima daripada mereka boleh diletakkan di atas padang dalam satu perlawanan dan seorang lagi bertindak sebagai pemain gantian (kuota 5+1).
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata kepada Nadi Arena: "Sembilan orang (pemain import) didaftarkan tetapi dalam setiap perlawanan, hanya lima akan berada di atas padang.
"Jika pemain (kuota) Asia mengalami kecederaan, dia tidak boleh digantikan dengan pemain Eropah.
"Ia lebih-kurang sama seperti yang sekarang ini, cuma bezanya ada seorang lagi pemain (import) di bangku pemain simpanan.
"Bagi saingan peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pula, enam orang dibenarkan di atas padang. Itulah perbezaannya.
"Pertukaran lima pemain masih diteruskan bagi memberikan minit permainan buat lebih ramai pemain," katanya.