BOLA SEPAK
Liga M3: Wan Mustafa tetap puji usaha KL Rovers
‘Kalau boleh biar pihak lawan keluar merangkak’, itu yang ditegaskan ketua jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail, sebelum bermulanya perlawanan terakhir penentuan juara Liga M3 MBSB Bank Championship 2023.
Tuntutan Wan Mustafa gagal disempurnakan barisan KL Rovers, namun tiada apa yang mampu menafikan usaha yang telah ditonjolkan setiap pemain di atas padang.
Wan Mustafa masih mampu memberikan senyuman termanis buat barisan pemain yang kebanyakkannya adalah pekerja separuh masa, namun kekal berjuang tanpa gaji sejak dua bulan lalu.
Iklan
"Saya telah memberitahu kepada pemain bahawa kami akan memberikan yang terbaik dan memaksa pasukan lawan melewati waktu yang sukar," katanya menerusi Nadi Weekend.
"Kami sangat bersyukur atas kejayaan melangkah ke Liga Super, beraksi dalam saingan tertinggi di Malaysia."
Sementara itu, ketua jurulatih Harini FT, P. Maniam, yakin mampu mengatasi KL Rovers namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga keseluruhan.
Ada riak kecewa di wajah Maniam namun akur andai Harini FT masih kekal di saingan liga yang sama musim depan.
"Kami cukup yakin dalam perlawanan ini. Harini telah cuba memberikan yang terbaik dan keputusan seri ini telah memberikan kelayakan Liga Super buat KL Rovers."
Dalam aksi di sebelah petang, Harini FT berjaya membuka tirai jaringan menerusi Noshahrul Idlan Talaha pada minit ke-25 namun keadaan itu tidak lama apabila KL Rover segera menyamakan kedudukan menerusi Rafie Mat Yaacob pada minit ke-25.
Harini memiliki beberapa percubaan menarik namun kedudukan terikat 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Must-Watch Video