BOLA SEPAK
Liga M3: KL Rovers simpan hajat tinggi sahkan kejuaraan
Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail, yakin dengan kemampuan anak buahnya dalam memberikan saingan yang hebat walaupun pihak lawan mempunyai lebih ramai pemain berpengalaman.
Saingan akhir Liga M3 MBSB Bank Championship 2023 menampilkan pertembungan penentuan kejuaraan liga di antara KL Rovers dan Harini FT di Stadium UPM, Serdang, petang esok.
Semestinya kedua-dua pasukan mendambakan kejayaan untuk merangkul gelaran juara yang menyaksikan Harini hanya tiga mata di belakang KL Rovers selaku pendahulu.
"Berdasarkan carta, kedudukan jaringan antara tiga pasukan yang dalam perlumbaan (merebut gelaran) sangat dekat.
"Bagaimanapun, kami sedikit keciciran (dalam soal jaringan) tetapi apa yang pentingnya kami masih mendahului liga, keputusan masih di tangan sendiri.
"Kalau menang tipis 1-0 pun, kami tetap mampu bergelar juara.
"Saya harap pemain saya memahami keadaan ini dan mereka harus berhati-hati.
"Kami tidak boleh buat kesilapan dan membiarkan pemain lawan berbuat sesuka hati mereka.
"Esok, KL Rovers perlu pastikan hadir untuk bekerja," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sementara itu, pemain tengah KL Rovers, Ikmal Hakim Murshariza, meletakkan sasaran untuk membantu pasukan merekodkan sekurang-kurangnya kemenangan tipis ke atas Harini.
Ikmal Hakim juga memasang impian untuk bermain dalam kancah liga utama Liga Malaysia (Liga-M), Liga Super, pada musim depan.
"Saya mahu naikkan KL Rovers ke Liga Super musim depan, kalau dapat jaringkan gol dan menang 1-0 pun sudah cukup baik," katanya pula.