BOLA SEPAK

Liga M3: Imigresen muncul juara

Ammar Hakim 21/10/2023 | 14:31 MYT
'Lima minit cukup mendebarkan', itulah situasi yang perlu dihadapi Imigresen FC sebelum ditabal juara Liga M3 MBSB Bank Champions Cup -- menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Tuah hari ini.
Usai tamat aksi ke atas Melaka, kem Imigresen belum boleh bersorak gembira kerana mereka perlu menantikan aksi pendahulu, KL Rovers yang ketika itu terikat 1-1 dengan Harini FT.
Ibarat penantian yang cukup panjang -- tambahan masa lima minit yang dikenakan dalam aksi di Stadium UPM tenang dinantikan Imigresen untuk akhirnya boleh menghela nafas ceria -- susulan kejayaan memintas KL Rovers dengan kelebihan hanya satu mata.
"Cukup mendebarkan, kami mengharapkan KL Rovers seri atau tewas dalam perlawanan mereka bertemu Harini FT dan keputusan seri yang diperoleh membantu kami muncul sebagai juara Liga M3," kata ketua jurulatih Imigresen, Mat Zan Mat Aris.
"Corak permainan agak perlahan hari ini, barisan pemain lebih mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak daripada sebarang kesilapan namun saya tetap memuji usaha mereka memastikan kemenangan dalam perlawanan ini."
Terdahulu, dalam aksi terakhir liga bagi Imigresen -- jaringan tunggal disempurnakan Azim Rahim menerusi sepakan penalti cukup untuk memutlakkan kemenangan pasukan ke atas Melaka sekaligus memintas kedudukan KL Rovers yang akur mengakhiri kempen dengan keputusan seri -- untuk hanya dibezakan dengan satu mata sahaja.
#Liga M3 #Imigresen FC
;