Liga Juara-Juara Asia: Hasrat JDT raih tiga mata tidak kesampaian

Ammar Hakim
Oktober 24, 2023 20:55 MYT
Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa pulang tiga mata dari Korea Selatan tidak kesampaian apabila Ulsan Hyundai memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Empat jaringan terhasil tetapi tiga yang pertama dalam tempoh 18 minit jadi pemisah antara JDT dan Ulsan.
Hanya lima minit yang diperlukan Ulsan untuk memulkan pesta jaringan mereka.
Sepakan penjuru diperoleh tuan rumah mudah disempurnakan kapten pasukan, Jeong Seung-hyeon yang tidak dikawal pertahanan JDT.
Pada waktu JDT mencari rentak, mereka dikejutkan dengan jaringan kedua pada minit ke-12.
Gustav Ludwigson bijak mengambil kesempatan ke atas tampanan bola dari kawasan tengah sebelum mengegar gawang JDT.
Penyerang kelahiran Sweden itu terus menjadi duri dalam daging buat wakil Malaysia itu hanya enam minit kemudian.
Kali ini melakukan larian dari sebelah kiri sebelum tenang menewaskan penjaga gol skuad Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed, untuk Ulsan mendahului 3-0 hanya selepas 18 minit aksi berlangsung.
Peluang terbaik JDT merapatkan jurang hadir pada minit ke-35 namun hantaran lintang Arif Aiman Md Hanapi gagal disambut pemain The Southern Tigers.
Ulsan bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah ke atas Kim Tae-hwan yang mengasari Corbin Ong.
Situasi yang menyaksikan JDT meningkatkan intensiti mencari jaringan pada separuh masa kedua.
Dan jaringan itu hadir pada minit ke-53 menerusi ledakan Bergson da Silva.
Bagaimanapun kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat.
#JDT #ACL #Bolasepak
;