BOLA SEPAK
Liga IPT DIV. 2 anjuran KPT semakin berkualiti
Selama sembilan hari kejohanan Liga IPT Division 2 berlangsung di Akademi Johor Darul Ta’zim - University Teknologi Malaysia (UTM) kini telah pun melabuh tirainya di mana Akademi Mokhtar Dahari B16 (AMD) muncul sebagai juara musim ini apabila berjaya menewaskan UITM Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir yang berlangsung dengan meriah serta kualiti permainan yang menarik dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.
Ini merupakan satu penganjuran yang baik dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dalam membangunkan bola sepak serta menyediakan jambatan untuk pemain-pemaim muda terus mengilap bakat mereka.
Dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta empat ratus lapan puluh pemain, ia telah membuktikan bahawa kejohanan yang dilaksanakan oleh KPT itu amat penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak Negara.
Dari jumlah penyertaan itu telah memperlihatkan kesungguhan insitusi-insitusi pengajian tinggi awam dan swasta ini begitu serius dalam membantu membangunkan sukan bola sepak Malaysia serta melahirkan ‘thinking athlete’ sebagaimana misi KPT.
Dari misi yang ditetapkan oleh KPT itu, ia telah menampakkan hasilnya apabila setiap pasukan yang bertanding dalam Division 2 Liga IPT ini telah menunjukkan kualiti permainan mereka.
Bukan itu sahaja, setiap pemain juga mempamerkan teknik individu serta ‘game IQ’ yang matang dan ini akan menambah bilangan pemain yang berkualiti. Atas faktor itu juga akan memperlihatkan penambahan dari jumlah pemain-pemain yang berkualiti yang boleh dinilai dan dilihat oleh panel pemilih pasukan Malaysia Universiti FC yang bermain dalam Liga M3.
Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara sebenarnya perlu membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk terus memperkasakan Liga IPT ini.
Bantuan kewangan perlu disalurkan kepada KPT oleh FAM melalui dana pembangunan FIFA yang telah di terima FAM. Bukan itu sahaja, FAM juga perlu menyumbangkan dana kembali kepada Majlis Sukan Negara, yang mengurus tadbir Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), kerana program ini sebenarnya banyak menyokong FAM dalam memajukan dan memperkasa ekosistem bola sepak akar umbi selain melahirkan ramai pemain berkualiti.