PIALA FAM

Liga FAM: Terengganu City enggan dabik dada

Tengku Danish Bahri   08/03/2018 | 04:31 MYT
Pengendali Terengganu City (TCFC), Mohd Noor Derus, mengakui nasib berpihak kepada skuad bimbingannya selepas mengatasi PJ Rangers 3-2 dalam aksi Liga FAM di Kuala Terengganu, semalam.
Menurutnya, TCFC bergelut untuk bersaing dengan pasukan lawan yang tetap menguasai permainan meskipun ketinggalan dua gol awal, sekali gus menyebabkan skuad bimbingannya hilang rentak.
Mohd Noor turut menyifatkan anak-anak buahnya hampir cemas dengan gerakan PJ Rangers yang dua kali merapatkan jurang jaringan.
“Kami bernasib baik dapat melakukan serangan balas dan menjaringkan gol ketiga.
“Kemenangan ini meredakan tekanan pemain-pemain. Mereka menunjukkan persembahan terbaik, terutama ketika diasak di hujung permainan,” katanya.
Dalam aksi semalam, TCFC hanya memerlukan dua minit untuk mendahului menerusi Mohd Hafiszuan Salehuddin yang menyambar sepakan percuma Mohd Dzaiddin Zainuddin di sebelah kiri.
Pada minit kesembilan, tuan rumah menggandakan kedudukan selepas Mohd Asysham Asri bijak melakukan voli di dalam kotak penalti menewaskan Farhan Abu Bakar buat kali kedua.
Tersentak dengan dua gol itu, PJ Rangers memperkemaskan rentak, namun percubaan leret Raslam Kham Abd Rashid (m-23) tepat ke dakapan penjaga gol lawan.
Pemain tengah pelawat, Mohd Azalinullah Mohd Alias, menjadikan kedudukan 1-2 pada minit ke-41 hasil sepakan kaki kiri dari luar kotak penalti.
Kedudukan berubah lagi dengan Mohd Asysham menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ketiga TCFC apabila menyudahkan bola muntah hasil percubaan awal Mohamad Sollihin Mahamad (m-55).
Muhamad Arif Mohamed Anwar kembali merapatkan kedudukan 2-3 pada minit ke-70 melalui sepakan penalti, namun gagal menghalang kemenangan tuan rumah.
Hujung perlawanan turut dicemari dengan layangan kad merah kepada tonggak TCFC, Zailan Mohamad, serta dua pemain tengah pelawat, Shreen Anak Tambi dan Fahrul Razi Kamaruddin.
;