Skip to main content

Bola Sepak

Liga amatur bantu rancakkan Piala FA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

raja-permin-fc.jpg
Kelab amatur dari Terengganu, Raja Permin FC, berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan penglibatan pasukan amatur dalam saingan Piala FA musim depan.

Menurut pegawai pasukan berkenaan, Mohd Dede Ellanne Zainuddin, adalah menjadi impian mereka untuk tersenarai dan turut serta dalam kejohanan domestik itu.

Langkah MFL itu disifatkannya cukup penting dalam meningkatkan kualiti pasukan selain mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan.

"Seperti kelab amatur yang lain, kami cukup teruja berpeluang menjadi sebahagian daripada kejohanan berprestij seperti Piala FA.

"Usaha ini perlu diteruskan MFL pada masa akan datang dan semoga ada wakil pasukan amatur yang akan layak ke pusingan berikutnya," kata Dede.

Raja Permin adalah antara 38 pasukan amatur yang beraksi dalam pusingan kelayakan Piala FA, semalam yang menyaksikan skuad The Rosseneri itu tumpas 3-5 kepada Klasiko FC.

Jaringan hatrik daripada Mohd Nor Kamali Hassan belum cukup buat Raja Permin apabila jaringan daripada Mohd Norhizwan Hassan, Muhamad Akhir Bahari, Ahmad Hafiz Abdul Aziz dan dua gol Amir Safuan Badeli memastikan kemaraan Klasiko FC.

Dede berkata kekalahan itu akan membakar semangat kelab berpusat di Chendering itu bagi menghadapi Liga M4, Liga Amatur Terengganu (TAL), yang dijangka bermula Jun ini.

"Kami akan membuat persiapan awal, malah banyak lagi perancangan diatur bagi memastikan Raja Permin terus bertapak dalam bola sepak tempatan," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video