Lemos akur terlepas tiga mata penting
Tengku Danish Bahri
Jun 28, 2018 21:15 MYT
Jun 28, 2018 21:15 MYT
Pengendali Negeri Sembilan, Mario Lemos, terpaksa menerima hakikat pasukannya pulang ke Seremban dengan tangan kosong setelah ditewaskan Terengganu FC (TFC) 2-3, malam tadi.
Persembahan positif dipamerkan skuad bimbingannya yang menyaingi tuan rumah, namun Lemos mengakui tiga kesilapan telah mengundang padah kepada Negeri Sembilan.
Semangat juang sahaja nyata tidak cukup walaupun mereka berkunjung dengan percaturan berbeza membawa misi mengutip mata untuk keluar daripada zon penyingkiran.
"Pemain-pemain hilang fokus dan gol yang dibolosi berpunca daripada kesilapan sendiri. Jelas kelihatan kami lupa dengan perancangan pasukan.
"Babak kedua bermula baik selepas mendahului 2-1. Beberapa peluang dicipta, kemudian TFC diberikan penalti yang membunuh Negeri Sembilan," ujarnya.
Dalam aksi malam tadi, dua gol pantas Nicolas Velez pada penghujung babak pertama memadamkan jaringan minit ke-31 oleh penyerang Terengganu, Kipre Tchetche.
Kelebihan itu begitupun gagal dipertahankan selepas Tchetche merakam hatrik, sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan semakin terdesak di kedudukan ke-11 dengan memungut 12 mata dengan tinggal lima perlawanan.
"Berbaki 20 minit, pemain-pemain berjuang memburu gol penyamaan, namun dua kali percubaan terkena palang.
"Saya tidak mahu menganggap kami tidak bernasib baik kerana saya tidak gemar perkataan itu," tambah jurulatih kelahiran Portugal itu.