LALIGA
Lemar tidak gentar corak pengurusan Simeone
Pemain tengah, Thomas Lemar, tidak takut memikirkan tuntutan kudrat yang sering diperlukan Diego Simeone di Atletico Madrid selepas menyempurnakan perpindahannya dari Monaco.
Pemain Perancis itu menyinar pada musim 2016/17 apabila skuad muda Monaco kendalian Leonardo Jardim ketika itu melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah serta menjulang trofi Ligue 1.
Selepas perpindahan ke Arsenal dan Liverpool gagal disempurnakan, Lemar tidak begitu menyerlah pada musim lalu tetapi tetap menarik perhatian Atletico.
Juara Liga Europa, Monaco, dilaporkan membayar yuran perpindahan berjumlah EUR70 juta (RM332 juta) untuk mendapatkan Lemar dalam usaha memperkuatkan barisan depan susulan penghijrahan keluar Yannick Carrasco dan Nico Gaitan, musim lalu.
Kedua-dua pemain tersebut gagal memenuhi tuntutan daripada Simeone yang terkenal dengan sikap yang sering meminta-minta daripada pemain-pemainnya, namun Lemar menegaskan dia tidak akan berdepan masalah.
"Saya tahu dan ia tidak mengganggu saya," kata Lemar ketika diperkenalkan sebagai pemain Atletico, semalam.
"Saya mempunyai kemampuan untuk berlari dalam tempoh yang lama. Dalam Atletico, mereka sering menuntutnya dan saya akan memberikan segalanya untuk pasukan. Jika saya perlu berlari pada tahap maksimum, saya akan melakukannya dengan penuh gembira."
Kehadiran Lemar menunjukkan kemahuan tinggi Atletico dalam memperbaiki barisan depan mereka selepas turut membawa masuk Gelson Martins dan Rodrigo.
Pemain berusia 22 tahun itu menyasarkan untuk layak ke final Liga Juara-Juara Eropah dalam musim pertamanya, di mana laman Atletico, Wanda Metropolitano, bakal menjadi gelanggang tuan rumah.
"Ia bakal menjadi matlamat kami pada musim ini. Saya rasa kami akan melakukan yang terbaik untuk melangkah jauh dalam kejohanan dan diharapkan dapat memenanginya memandangkan final bakal diadakan di laman sendiri."