Sir Kenny Dalglish bakal dikurniakan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Personaliti Sukan Terbaik BBC 2023 (SPOTY).

Daglish yang menjaringkan sebanyak 167 gol dalam 320 penampilan, menjulang sembilan trofi bersama Celtic sebelum melakukan perpindahan ke Liverpool dengan rekod British pada ketika itu berjumlah £440,000, bakal terima anugerah itu pada Selasa.

Dalglish terus menjadi pemain hebat buat Liverpool dan membantu kelab itu mengekalkan Piala Eropah menentang Club Brugge di Wembley pada tahun 1978 dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Dianggap sebagai ‘King Kenny’ oleh penyokong Liverpool di seluruh pelosok dunia, dan antara pemain terhebat yang pernah sarung jersi Liverpool, dia kekal sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan lebih daripada 100 gol liga di Scotland dan England.

Dalglish menegaskan dia tidak akan menerima anugerah ini tanpa bantuan orang di sekelilingnya semasa zaman bermain dan kejurulatihannya, termasuk pemain dan peminat.

Dalglish berkata: “Menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat benar-benar satu penghormatan.

“Saya sentiasa percaya pada kepentingan kejayaan pasukan dan saya tidak akan berada di tempat saya berada hari ini tanpa semua pemain yang saya pernah beraksi bersama, orang yang bekerja dan penyokong yang menyokong saya – jadi ini untuk mereka.



“Untuk setiap kelab dan pasukan kebangsaan yang saya pernah terlibat, saya sentiasa berkata betapa pentingnya mendapat sokongan peminat. Dan peminat yang menyokong, mereka sangat penting, dan beri impak dalam apa jua kejayaan.

“Dengan semua pasukan, saya mengalaminya dan saya boleh memberitahu anda bahawa ia adalah benar, mereka membantu kami.

“Apabila kami bergelut, mereka masih ada dan mereka bersedia untuk anda, cuba untuk mendapatkan keputusan, keputusan positif.”



Dalglish menghabiskan enam tahun sebagai pengurus Liverpool dari 1985 dan kembali ke Anfield lebih 20 tahun kemudian untuk menggantikan Roy Hodgson yang dipecat, sementara dia juga menghabiskan masa sebagai pengendali Blackburn, Newcastle dan Celtic.