Lee Tuck ucap selamat tinggal

Wartawan Sukan Sinar
Disember 24, 2022 16:56 MYT
Pemain naturalisasi Sri Pahang, Lee Andrew Tuck mengumumkan untuk meninggalkan skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Luahan perpisahan pemain berusia 34 tahun itu dibuat di Twitter beliau lewat malam Jumaat.
“Malangnya masa saya bersama Sri Pahang telah sampai ke penghujung.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang hebat yang saya temui dalam kelab, peminat dan orang lain yang saya temui di negeri yang menakjubkan ini,” ciap Lee Tuck.
Sri Pahang baru-baru ini mengumumkan sembilan pemain yang dilepaskan, namun tiada nama Lee Tuck disenaraikan menjadikan khabar itu sebagai satu kejutan.
Disebabkan menanti pengesahan kewarganegaraan Malaysia, Lee Tuck tidak didaftarkan bersama Sri Pahang dan akhirnya ia menjadi realiti pada Ogos lalu apabila dia tampil sebagai pemain tempatan.
Lee Tuck sempat tampil dua kali dalam Piala Malaysia apabila Sri Pahang tersingkir awal setelah tewas 3-9 secara agregat kepada Terengganu FC.
“Saya dan keluarga berasa sedih untuk berpindah, biarpun saya ingin bermain lebih banyak permainan untuk kelab.
“Saya tahu ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan keindahan dalam cabaran serta pengalaman yang anda dapat kongsikan.
“Saya juga perlu berterima kasih kepada isteri dan anak-anak atas kasih sayang dan sokongan positif mereka yang tidak pernah putus,” ciap Lee Tuck.
Pemain tengah itu ketika ini cemerlang bersama skuad Harimau Malaya setelah meledak dua gol daripada tiga penampilannya.
;