Lee Tuck tekad pamer kualiti sebenar bersama skuad kebangsaan

Ammar Hakim
Jun 11, 2023 19:47 MYT
Tonggak tengah Kedah Darul Aman, Lee Tuck, menegaskan dia mahu memanfaatkan dua aksi persahabatan antarabangsa bersama Harimau Malaya sebaik mungkin dalam usaha menambat hati pengendali, Kim Pan-gon.
Tanpa berselindung, pemain naturalisasi kebangsaan itu menyimpan hasrat untuk terpilih dalam senarai akhir pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di pentas Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Qatar awal tahun depan.
Skuad negara bakal melayani kunjungan Kepulauan Solomon pada Rabu dan Papua New Guinea pada 20 Jun depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Lee Tuck dalam perkembangan sama turut mengakui gembira dengan prestasinya dalam saingan Liga Super ketika ini yang menyaksikan dia sudah pun mencetak empat gol di samping membantu Kedah menghuni kedudukan ketiga liga selepas 14 perlawanan.
"Saya sangat berbangga dan gembira untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan. Ini adalah masa untuk kembali berusaha keras dan cuba memberikan yang terbaik," kata Lee Tuck.
"Skuad negara memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya mahu menumpukan peluang mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama."
#Malaysia #Kim Pan-gon #Lee Tuck #Bolasepak
;