BOLA SEPAK

Lebih ramai atlet diseru imarah YAKEB

Shaiful Shamsudin 28/03/2025 | 11:18 MYT
Bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri, 100PLUS di bawah Syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, dengan kerjasama Yayasan Kebangsan (YAKEB) dan Majlis Sukan Negara (MSN), meraikan lapan atlet para pelapis dan tujuh bekas atlet negara.
Tiga daripada atlet para pelapis yang menerima sumbangan merupakan atlet renang termasuk Saiful Rizal Abdullah.
Selain itu, bekas atlet elit memanah, Zulkifli Mat Zin, antara tujuh bekas atlet yang diraikan tahun ini.
Adalah menjadi harapan Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bahawa bekas atlet yang masih belum berdaftar dengan YAKEB agar segera melakukannya agar membolehkan segala keperluan dan bantuan disalurkan.
"Saya bersyukur kerana berkesempatan menziarahi rakan-rakan atlet dan ahli YAKEB pada hari mulia ini bersama 100PLUS dan MSN untuk bertanyakan khabar mereka.
"Kami akan gerakan usaha untuk mendekati atlet supaya mereka sertai YAKEB.
"Walapun tidak mendapat bantuan daripada YAKEB, sekurang-kurangnya mereka dapatkan sampaikan nasihat, agenda atau pun kami bantu urusan mereka.
"Saya menyeru supaya rakan-rakan atlet yang belum menjadi ahli agar bersama-sama YAKEB untuk membantu rakan-rakan kita," katanya di Nadi Arena.