Skip to main content

Bola Sepak

Lebih mudah dapatkan saya berbanding Fellaini -- Mourinho

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fellaini-310717.jpg
Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini, telah dikaitkan dengan perpindahan ke Galatasaray tetapi spekulasi itu pantas dinafikan oleh pengurus, Jose Mourinho.

Pengarah Galatasaray, Cenk Ergun, menyifatkan pasukannya berada pada posisi terbaik untuk mendapatkan pemain tengah Belgium berusia 29 tahun itu.

Bagaimanapun, Mourinho dilihat tidak mahu melepaskan pemain tengahnya itu walaupun kontrak yang dimiliki hanya berbaki setahun lagi.

Ketika ditemui dalam sidang media selepas aksi persahabatan menentang Valerenga yang menyaksikan Fellaini menjaringkan satu gol, pengurus dari Portugal itu menjelaskan bekas pemain Everton itu penting dalam perancangannya.

“Lebih mudah untuk Galatasaray mendapatkan saya berbanding Fellaini.

“Lupakanlah, dia amat penting buat saya,” kata Mourinho.

Mourinho turut memuji dua pemain baru, Victor Lindelof dan Romelu Lukaku, walaupun tidak menurunkan pertahanan Sweden itu dalam aksi di Oslo, Norway.

“Gol yang dijaringkan Lukaku amat penting untuk mendapatkan keyakinannya. Setiap pengurus gembira dengan apa yang dilakukan penyerang walaupun ketika tidak berjaya menjaringkan gol kerana kadangkala mereka tetap menyumbang dalam perancangan pasukan tetapi bagi mereka, jaringan gol adalah sesuatu yang penting,” ujar Mourinho.

“Untuk Lindelof, ia mengambil masa. Benfica adalah kelab gergasi dan saya rasa setiap pemain yang hadir dari sana pasti sudah bersedia tetapi liga di Portugal amat berbeza.

“Manchester United adalah kelab yang besar dan kami akan memberikan masa yang diperlukannya,"  tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video