Layanan ‘pengering rambut’ nanti pemain United
Asmawi Bakiri
Mac 6, 2023 23:00 MYT
Mac 6, 2023 23:00 MYT
Sehari selepas diaibkan 7-0 oleh Liverpool di Anfield, suasana di padang latihan Manchester United di Carrington keesokannya diumpamakan seperti rumah mayat.
Wajah-wajah sugul tiba satu persatu, menjangkakan untuk berdepan ‘raksasa ganas’ berupa pengurus, Erik ten Hag, yang sampai dua jam lebih awal pada jam 7 pagi.
Hanya beberapa jam sebelumnya, Ten Hag yang berang bermuka merah padam dalam sidang akhbar selepas perlawanan yang menjadi buah mulut itu, menggelarkan pemain-pemainnya sebagai langsung tidak profesional sehingga diaibkan sedemikian rupa.
Ia adalah kekalahan terbesar mereka sejak 1931.
“Pemain-pemain saya tidak lagi bekerjasama sesama sendiri. Mereka tidak melakukan tugas mereka dalam separuh masa kedua,” ujarnya.
Ditanya jika pemainnya ada cuba memberi penjelasan terhadap longlainya aksi mereka, Ten Hag tidak berselindung bahawa dia langsung tidak memberikan mereka peluang berbuat demikian.
“Saya hanya menghujahkan apa yang saya patut katakan ketika itu. Memang kami perlu berbincang mengenainya tapi tunggulah esok,” katanya seperti dilaporkan Daily Mail.
Apa yang barangkali boleh dijangkakan adalah layanan panas “pengering rambut” seperti yang menjadi identiti pengurus legenda Unied, Sir Alex Ferguson.
Casemiro, Alejandro Garnacho dan David de Gea mendahului rakan-rakan sepasukan tiba di Carrington pada pagi Isnin, dengan penjaga gol itu dilaporkan menekup mukanya daripada tumpuan kamera pihak media.
Bek, Luke Shaw, pula menurunkan pelindung silau di dalam keretanya untuk menghindarkan wajahnya daripada dirakamkan.
Garnacho menyembunyikan muka menggunakan baju ‘hood’ yang dipakainya sambil kedua-dua penyerang, Wout Weghorst, dan pertahanan, Diogo Dalot, kelihatan resah dan cemas setibanya mereka.
Sambil itu, perbuatan menuding jari dilaporkan sudah pun berlaku, dengan pemain rata-rata menyalahkan Dalot terhadap runtuhnya tembok kebal United dalam separuh masa kedua.
Menurut Manchester Evening News, Anthony dan Fred lebih awal dilihat menegur pemain pertahanan itu pada pertengahan separuh masa pertama lagi sambil Ten Hag kerap meneriakkan arahan kepadanya dari kawasan teknikal di tepi padang.
Sekadar memburukkan keadaan buat pemain Portugal itu, Liverpool membuka akaun jaringan dengan mengeksploitasi ruang di bahagian sayap kanan pertahanan pasukan pelawat.
Dalot diumpan ke arah Andy Robertson yang memiliki bola, meninggalkan ruang kosong yang besar di belakangnya.
Fred cuba menutup ruang tapi tidak berupaya memintas lintangan Robertson kepada Cody Gakpo yang menemui sudut sebelah kanan pintu gol United sewaktu De Gea tidak pun berupaya melakukan apa-apa.
Dan sejak itu, bermulalah derita yang panjang buat The Red Devils.