Latihan perit kendalian Megat Amir Faisal lonjak karier Sikh Izhan di Negeri Sembilan
Shaiful Shamsudin
Mac 19, 2023 21:21 MYT
Mac 19, 2023 21:21 MYT
Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, menjadikan tunjuk ajar jurulatihnya, Megat Amir Faisal Al Khalidi Ibrahim , sejak menyertai skuad Jang sebagai titik tolak perubahan positif prestasinya musim ini.
Pemain pinjaman daripada Selangor FC itu terpilih mewakili skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong bulan ini.
"Sebenarnya saya agak terkejut.
"Selalunya saya bersedia dipanggil untuk pasukan B-23 tapi kali ini untuk skuad senior.
"Jadi saya rasa sangat teruja," katanya yang memastikan satu perlawanan tidak dibolosi.
"Dia (Megat Amir) memang garang, berlatih sampai muntah.
"Saya tidak pernah melalui pra-musim yang sukar malah di Selangor pun tidak pernah diajar begini.
"Datang sini ada kelainan, saya rasa Liga Super adalah pentas berbeza, jadi dia ajar berlainan," katanya selepas perlawanan malam tadi.
Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMB) itu juga percaya terhadap kemampuan dirinya untuk keluar daripada bayangan Syihan Hazmi Mohamed yang kini berkelana ke Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.
Ia menerusi peluang yang diberikan oleh pengendali, K. Devan, dalam beberapa perlawanan terdahulu dan aksi seterusnya.
"Penghijrahannya menjadi satu tamparan yang hebat buat Negeri Sembilan.
"Tugas ini agak berat dengan umur saya baru berusia 20 tahun.
"Pengalaman akan mematangkan saya dan saya akan cuba sehabis baik untuk Negeri Sembilan," katanya lagi.