Skip to main content

Bola Sepak

Laporan kedua F:30 -- Purata peningkatan lima peratus tiga teras utama

f-30-tracking-infographic-01.jpg
Laporan suku kedua Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 (F:30) bagi Pelan Strategik 1, menunjukkan peningkatan lima peratus bagi purata ketiga-tiga teras utama F:30, sekali gus membuktikan pelan itu terus berada di landasan terbaik untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Peningkatan itu merangkumi Tadbir Urus (kakitangan dan dasar), Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur dan rakan kerjasama) dan Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita dan futsal).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan kedua bagi tempoh April hingga Jun 2019 itu menunjukkan Tadbir Urus meningkat empat peratus daripada 23 peratus pada suku pertama kepada 27 peratus pada suku kedua 2019.

Antara program dalam Tadbir Urus yang dijalankan sepanjang tempoh suku kedua tahun ini ialah pindaan terhadap Statut FAM telah dilengkapkan dan dibentangkan dalam Kongres FAM Ke-55, 13 Julai lalu.

Daripada segi Pembangunan pula meningkat enam peratus daripada 24 kepada 30 peratus manakala bagi Pertandingan, meningkat enam peratus daripada 30 kepada 36 peratus. 

Bagi Pembangunan, FAM telah menerima Sijil Keahlian Konvensyen Kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 25 Jun lalu, sekali gus boleh menganjur dan menjalankan kursus kejurulatihan peringkat dan kategori masing-masing tanpa menjalani proses lama untuk mendapatkan kelulusan AFC terlebih dahulu.

Pertandingan pula menyaksikan saingan liga futsal profesional pertama negara, Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 berjaya dilangsungkan bermula pada 22 Jun dan kini masih berjalan.

Untuk rekod, F:30 dilancarkan secara bersama oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di Kuala Lumpur pada 31 Okt tahun lalu.

Ia dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik, iaitu Pelan Strategik 1 (2019-2022) untuk membentuk teras asas; Pelan Strategik 2 (2023-2026) untuk mula menguasai Asia; dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) untuk menguasai peringkat dunia.

Laporan pertama F:30 dibentangkan pada 3 April lalu bagi memberitahu perkembangan sepanjang tempoh suku pertama 2019 (Januari hingga Mac 2019) yang merangkumi peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1 dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).

FAM akan membentangkan laporan ketiga Oktober ini dan laporan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pemegang taruh bola sepak dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video